anak-anakku sayang

anak-anakku sayang
anak-anak ku sayang

Friday, 7 December 2012

Dialog Antara Agama

Fenomena Debat Dan Dialog Kristian: Satu Amalan Yang Dilupakan.
Mahmud bin Ahmad
Nora Waheeda binti Abdul Rashid

Abstrak
Sejak di zaman Rasulullah S.A.W dialog antara agama telah menjadi medan dakwah Islamiyyah yang sangat efektif kepada agama Islam. Amalan perbahasan antara agama samada di atas pentas dialog, debat, forum dan sebagainya telah terus menjadi metod dakwah oleh para sahabat baginda Rasulullah S.A.W dan menjadi kesinambungan proses dakwah oleh para ulama silam sehingga ia menjadi ikutan para ulama kontemporari. Ini kerana dengan adanya pentas debat dan dialog antara agama ‘membenarkan’ pembahas dan pendengar mempersoalkan perkara-perkara yang berkaitan teori dan amalan sesuatu agama atau ajaran tanpa perlu rasa bimbang terhadap isu yang boleh menimbulkan sensitiviti dan emosi. Malah medan dialog antara agama mampu memberi kesan sehingga mengubah secara ‘drastik’ prinsip dan pegangan yang selama ini dianuti oleh seseorang ini tidak dilihat berkembang secara menyeluruh, khususnya dalam konteks negara Malaysia. Justeru, kajian ini akan melihat itu. Dewasa ini metode debat dan dialog antara agama yang menjadi kaedah dakwah Islamiyyah hampir tidak lagi diberikan keutamaan oleh pendakwah Muslim di Malaysia. Isu-isu seperti khuatir dengan tentangan masyarakat samada penganut agama Islam atau bukan Islam di samping institusi ilmuan yang kurang memainkan peranan menjadi antara faktor mengapa proses ini tidak dilihat berkembang secara menyeluruh, khususnya dalam konteks Negara Malaysia.Justeru, kajian ini akan melihat sejauhmana persepsi masyarakat Islam dan bukan Islam terhadap ‘keterbukaan’ debat dan dialog antara agama. Apakah pertikaian berhubung doktrin sesuatu agama boleh menjejaskan keharmonian di dalam sesebuah masyarakat dan negara sehingga pembawakan siri-siri kuliah agama samada di media atau di institusi agama di Malaysia kurang memberikan perhatian terhadap pendekatan debat atau dialog yang bersifat terbuka. Sehubungan itu, kajian ini juga akan cuba mengemukakan agensi-agensi yang pernah atau masih berperanan menjalankan aktiviti seumpama ini secara berterusan disamping mengemukakan skop dan peranan media dalam membangunkan salah satu metod dakwah ini
.

PENDAHULUAN
 
Dialog antara agama amat penting berikutan masyarakat berhadapan dengan pertembungan antara tamadun Barat dan Timur yang menyaksikan tamadun Barat menguasai dunia pada hari ini. Barat sering mengembar-gemburkan bahawa  penganut agama Islam  sebagai ‘terrorist’ yang menjadi ketakutan masyarakat dunia kini dan juga menganggap masyarakat Islam tidak bertamadun. Peristiwa  11 September 2001 masih menjadi persoalan dunia namun kerana tuduhan melulu menyebabkan maruah umat Islam tercalar. Inilah yang perlu dilihat oleh para cendekiawan Islam  dalam mengembalikan semula maruah Islam di mata dunia. Maka dialog antara peradaban atau dialog antara agama Islam dengan agama serta kepercayaan lain perlu dijalankan supaya dapat membuka mata dan Barat tidak hanya menunding jari kepada masyrakat Islam jika wujud sebarang  persengketaan di muka bumi ini.

Dialog ini dalam Bahasa Melayu membawa maksud kata-kata yang dituturkan oleh watak-watak dalam drama atau fiksyen, karya sastera dalam bentuk perbualan, perbincangan atau perundingan antara dua pihak yang bertelingkah kepentingannya. Berdialog pula mengadakan dialog, bertukar-tukar pendapat mengenai sesuatu isu  secara terbuka. Dalam Bahasa Inggeris pula dialog dari kata “dialogue” membawa maksud perbincangan antara manusia yang mempunyai pendapat dan pandangan yang berbeza.  Dialog antara agama merupakan kesediaan dan keupayaan untuk memberi respons terhadap perkara – perkara  berbangkit yang menyangkut kepentingan setiap kelompok beragama. “kesediaan” membawa makna kejujuran serta keikhlasan wujud pada pihak, yang berdialog. Justeru, tidak ada agenda tersembunyi tersirat di dalamnya.

Dialog ini menurut Muhammad ‘Uthman El- Muhammady  terjadi apabila wujudnya kenal-mengenali. Kenal –mengenali ini boleh berlaku dengan adanya perhubungan menyebabkan berlakunya dialog yang berlaku dalam kerahiman (rahmah, compassion). Maka kelainan yang wujud adalah tanda-tanda kekuasaan Tuhan. Ayat yang menyebut berkenaan kelainan itu ialah ayat yang bermaksud:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang Mengetahui” (Surah al- Rumm 30:22).


 PERSEPSI MASYARAKAT MUSLIM DAN BUKAN ISLAM TERHADAP KETERBUKAAN DEBAT DAN DIALOG ANTARA AGAMA.

Dialog antara agama di Malaysia sebenarnya sudah wujud dari dahulu lagi. Pengalaman berinteraksi dengan tamadun besar dunia yang terjalin seawal abad ke 8M yang dimulakan dengan tamadun Hindu, Buddha, Islam dan Kristian. Ini menjadikan Malaysia mewarisi sejarah dan tradisi yang cukup kaya dengan kehidupan masyarakat yang berbilang agama, budaya dan bangsa sejak zaman silam hinggalah kini. Tradisi keintelektualan yang berorientasikan kehidupan kaum berbilang agama turut terbentuk pada abad ke 17M  dengan penemuan karya Nuruddin al-Raniri berjudul “ Tibyan al- Ma’rifat al-adyan “ (Penjelasan terhadap anutan Agama-agama) mengenai ilmu perbandingan agama.   Ini menunjukkan bahawa masyarakat Muslim dan bukan Islam di Malaysia telah mengamalkan budaya dialog ini di samping pengalaman hidup dalam masyarakat majmuk.

Agama Islam menerima dan menyokong dialog antara agama ini kerana sejarah telah mengukir yang mana memperlihatkan berlakunya dialog dan interaksi sosial antara penganut agama Islam dan penganut agama Yahudi dan Kristian terutama semasa pentadbiran Rasulullah S.A.W di Madinah sehingga terhasilnya  Piagam Madinah yang menunjukkan kejayaan kepada Islam sebagai kerajaan yang dapat mewujudkan keharmonian antara kepelbagaian agama dan bangsa. Ini dikuatkan lagi dengan pengiktirafan Islam terhadap agama yang wujud.

Menurut Prof Dr Ahmad Shalaby ilmu perbandingan agama tidak pernah wujud sebelum kedatangan Islam. Fenomena ini berlaku disebabkan agama –agama terdahulu tidak pernah mengiktiraf agama-agama selainnya. Pengiktirafan Islam terhadap kewujudan agama-agama lain telah menyebabkan ilmu perbandingan agama muncul dan berkembang pesat bermula pada zaman Rasulullah. Namun begitu, perspektif Muslim ialah pengiktirafan tersebut hanyalah berdasarkan kewujudan agama-agama itu sahaja dan bukannya dari aspek kesahihannya atau kebenaran ajarannya.

Islam turut memberikan kebebasan kepada manusia memilih agama anutan mereka. “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Karena itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut[162] dan beriman kepada Allah, Maka Sesungguhnya ia Telah berpegang kepada buhul tali yang amat Kuat yang tidak akan putus. dan Allah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui”. (Surah al- Baqarah (2: 256) Ayat ini memberikan kelonggaran kepada masyarakat bukan Islam menjalankan ibadat dalam agama anutan mereka.

Anjuran Islam terhadap dialog antara agama ini juga boleh dilihat dengan jelas apabila umat Islam diminta untuk berdakwah dengan cara yang paling baik kepada penganut agama lain. Masyarakat Islam juga dikehendaki berbahas dengan cara yang paling baik sehinggakan Allah meminta kita berbahas dengan ahli kitab dengan cara yang terbaik.

“Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka, dan Katakanlah: "Kami Telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan kami Hanya kepada-Nya berserah diri". Surah Al- Ankabut:  46.

Perlaksanaan Dialog Antara Agama di Malaysia adalah bertitik tolak daripada Dasar Islamisasi yang dibuat pada tahun 1982. Kebimbangan masyarakat bukan Islam terhadap beberapa isu keagamaan yang lain turut memangkinkan proses ini. Justeru dialog yang berlaku ini adalah berasaskan tuntutan pihak bukan Islam sebagai jaminan kehidupan mereka sebagai warga Malaysia seperti yang termaktub dalam Artikel 11 Perlembagaan Malaysia yang menekankan toleransi beragama. 

Bagi masyarakat bukan Islam di Malaysia pula, pengkaji akan melihat perspektif penganut agama Kristian terhadap dialog antara agama khususnya di Malaysia. Ini kerana agama Kristian dianuti oleh pelbagai kaum antaranya India, Cina, Orang Asli serta kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak dan penganutnya bertambah sepanjang tahun. Masyarakat bukan Islam di Malaysia turut menerima konsep dialog antara agama ini jika melihat kepada Penubuhan Majlis Perundingan Agama-agama pada tahun 1983 yang diwakili oleh agama Hindu, Buddha, Kristian dan Sikh. Gerakan ini juga ditubuhkan oleh pihak Kristian.

Selain daripada itu, toleransi beragama di Malaysia sangat baik kerana melihat kepada sambutan perayaan sesuatu agama, diadakan sambutan rumah terbuka yang dihadiri ketua Negara, pemimpin-pemimpin agama dan masyarakat  juga beberapa seminar antara ketua agama (Islam, Kristian, Hindu dan Buddha).   Justeru, bagi masyarakat bukan Islam apa yang menjadi perhatian mereka ialah apa yang ingin dilaksanakan oleh Kerajaan tidak menjejaskan hak dan kebebasan seperti yang di jamin oleh Perlembagaan.
Di dunia Barat, dialog antara agama ini dilihat berkembang selepas Perang Dunia ke- dua. Dialog antara agama mula menjadi pokok perhatian yang penting di kalangan agama di dunia. Keinginan untuk berdialog ini disuarakan oleh Paus Paulus VI yang menyatakan bahawa dialog adalah keperluan masa kini dan ianya menjadi tuntutan kepada masyarakat Pluralisme .

Maka disini jelas menunjukkan kepada kita bahawa masyarakat Muslim dan bukan Islam menerima pendekatan dialog antara agama ini terus diadakan supaya masyarakat dapat sama-sama menjaga keharmonian Negara Malaysia.

ISU-ISU YANG SERING MENJADI PERTIKAIAN MASYARAKAT TERUTAMA YANG BERHUBUNG DENGAN DIALOG

Dalam meneliti berkenaan dengan dialog antara agama terdapat  isu- isu yang menjadi pertikaian yang perlu diambil perhatian. Antaranya isu perlaksanaan syariah. Hampir keseluruhan umat Kristian bertindak untuk menentangnya. Antara alasan yang mereka berikan  ialah tidak mungkin syariah memberi kebebasan sepenuhnya terhadap agama-agama lain. Mereka berusaha meyakinkan orang lain bahawa orang-orang bukan Islam akan menjadi rakyat kelas kedua apabila syariah berkuatkuasa dan ianya tidak dapat dilaksanakan dengan adil kerana pelaksananya adalah manusia.  Namun, masyarakat Islam perlulah menyangkal tanggapan negatif ini kerana Islam tidak menindas mereka yang berlainan agama. Ini dikuatkan dengan peristiwa Rasulullah S.A.W menyelesaikan isu zina yang dilakukan oleh orang Yahudi. Dalam menyelesikan isu zina tersebut Rasulullah S.A.W menggunakan undang-undang yang ada dalam agama Yahudi bukan syariah Islam.

Kedua adalah isu penggunaan Injil dalam bahasa Melayu-Indonesia . Ini berikutan sekatan yang dikenakan terhadap penerbitan Bible ke Bahasa Melayu, mereka berusaha menggunakan “ al-Kitab” versi terjemahan Indonesia. Mereka juga menentang dasar pihak berkuasa terhadap penggunaan beberapa perkataan bahasa Arab atau al-Qur’an seperti Allah, al-Kitab, Firman, Rasul, Iman, Kaabah, Ibadah, Injil, Baitullah, Wahyu dan sebagainya. Perkara ini kemudian menjadi isu besar terutama apabila pengarang akhbar Herald  The Catholic Weekly, Paderi Lawrence Andrew menyatakan bahawa pihak Kementerian Dalam Negeri ( KDN) telah memperbaharui permit penerbitan akhbar tanpa larangan menggunakan kalimah Allah. 

Isu ketiga adalah berkenaan isu peruntukan tapak untuk rumah-rumah ibadah.   Dengan mengenakan peraturan baru terhadap pembinaan gereja, masjid dan surau dimana perlu ada 4000 ahli untuk membolehkan gereja didirikan sedangkan 150 rang Islam sahaja sudah boleh mendirikan surau,  Seterusnya mereka meminta siaran Agama di TV1, TV2 dan Radio. Peruntukan selama setengah jam yang diberikan dilihat tidak memadai dan mereka menganggap ia merupakan penafian terhadap agama mereka.

Selain itu juga, isu pendidikan turut menjadi isu penting.  Ini kerana akibat daripada pelaksanaan dasar pendidikan kebangsaan telah mengurangkan pendidikan gereja di sekolah-sekolah misionari terutamanya di sekolah-sekolah Katholik dan Methodist. Disebabkan kengkangan tersebut mereka  terpaksa mengadakan kelas-kelas agama di luar waktu persekolahan, umpamanya hari Ahad.

Di samping itu juga, terdapat juga persoalan terutama apabila tiba musim perayaan sesuatu agama dan kaum. Malaysia telah mengamalkan program rumah terbuka, saling membalas kad ucapan tahniah dan saling berbalas ucapan selamat dan sebagainya yang bertujuan memelihara kerukunan bangsa dan perpaduan Negara.  Namun perkara ini turut menimbulkan keraguan terhadap umat Islam khususnya. Terdapat pro dan kontra terhadap persoalan ini. Pendapat yang menolak mengharamkan ucapan tahniah  bersempena perayaan agama adalah sama seperti mengucapkan selamat kepada mereka yang sujud pada salib dan ianya lebih berat daripada  mengucapkan selamat kepada mereka yang minum arak, membunuh dan sebagainya.

Pendapat yang membenarkan pula menyatakan tidak menjadi kesalahan mengucapkan tahniah kepada masyarakat bukan Islam bersempena perayaan yang melambangkan kegembiraan mereka. Dr Yusuf Qaradhawi berpandangan bahawa perbuatan tersebut merupakan hak-hak bersama (musytarakah) dan pandangan ini disandarkan kepada  ayat Allah yang dirakamkan dalam Surah an- Nisa’ ayat 86 “Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, Maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik dari padanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah memperhitungankan segala sesuatu”.

Pandangan Dr Yusuf Qaradhawi ini turut menjelaskan bahawa perbuatan mengucapkan tahniah kepada orang bukan Islam bersempena perayaan mereka tidak bermakna kita turut merayakan hari perayaan mereka secara bersama tetapi hanyalah sekadar ucapan tahniah sahaja. Ini bertepatan dengan perintah Allah kepada umat Islam supaya berbuat baik  kepada mereka yang bukan beragama Islam.

PIHAK  YANG  TERLIBAT  DALAM  DIALOG  ANTARA  AGAMA

Dialog antara agama tidak akan berjalan dengan baik jika tiada pihak yang memainkan peranan untuk melaksanakannya. Maka terdapat beberapa agensi yang terlibat dalam menjayakan dialog ini. Daripada agensi kerajaan Malaysia telah menubuhkan Jabatan Perpaduan Negara yang mempunyai misi untuk memupuk kesefahaman dan semangat muhibbah melalui jaringan dan interaksi sosial ke arah pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu padu dan beridentiti nasional . Agensi yang berkaitan dengan hal ehwal Islam juga turut terlibat dalam proses dialog antara agama khususnya di Malaysia seperti Institut Kemahiran Islam Malaysia (IKIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan  Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) yang banyak menjalankan seminar, bengkel, kajian  serta penerbitan berkaitan dialog antara agama ini.

Di samping itu juga terdapat badan yang mewakili Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia yang terlibat contohnya seperti Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya yang aktif menghidupkan seminar peradaban. Selain daripada itu, beberapa agensi bukan kerajaan (NGO) yang wujud turut memangkinkan dialog ini berlaku dengan lebih baik lagi seperti Malaysian Consultative, Council of Buddhism, Christianity, Hinduism and Sikhism (MCCBCHS), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), International Movement For Just World (JUST), Institut Perkembangan Minda (INMIND), ALIRAN dan sebagainya.

Apabila diteliti banyak badan atau pihak yang memainkan peranan terhadap dialog antara agama ini. Namun dialog masih lagi terlalu terhad kerana ianya hanya dijalankan di Institusi Pengajian Tinggi dan pihak tertentu seperti IKIM  yang sering menjalankan seminar dan penerbitan berkaitan dialog tanpa memperluaskannya kepada masyarakat umum yang lebih luas.

PERANAN MEDIA
Peranan media juga amat penting dan ianya tidak boleh dipandang enteng terutama sebagai medium perantara kepada masyarakat. Media juga merupakan senjata yang ampuh untuk menebarkan jalur pemikiran, ideologi dan kebudayaan. Ini jelas apabila media turut digunakan untuk menyebarkan agama-agama selaras dengan fungsinya sebagai ‘penyampai maklumat’ kepada masyarakat.

Internet menjadi media elektronik yang tercanggih kini. Ideologi Globalisasi yang menjadikan dunia tanpa sepadan turut memangkinkan peranannya. Lagipun internet begitu mudah diperolehi dan ianya terlalu luas. Agensi-agensi yang bertanggungjawab menjalankan dialog antara agama kebanyakkannya mempunyai laman sesawangnya (laman web) tersendiri dan dengan cara tersebut mereka dapat menyalurkan maklumat berkaitan secara maya dan maklumat tersebut boleh diperolehi dengan mudah dan dalam masa yang sama aktiviti yang dijalankan oleh agensi-agensi terlibat diketahui umum.

Rancangan Televisyen dan radio turut memainkan peranan dalam dialog antara agama ini. Contohnya mengadakan program bual bicara yang berkaitan dengan dialog ini.Contohnya mengadakan program berkaitan Hal Ehwal Islam dengan membincangkan berkenaan toleransi agama dan hidup bersama masyarakat majmuk. Di TV1 ada program “Dialog” yang disiarkan setiap hari Rabu. Tajuknya sahaja sudah bersesuaian dengan konsep dialog antara agama dan diharap pihak terlibat boleh menyelitkan beberapa perbincangan yang mengupas berkenaan dialog antara agama. Program bual bicara ini juga hendaklah dihadiri oleh mereka yang berautoriti dan sesuai.
Selain daripada itu penerbitan buku-buku intelektual yang berkaitan juga perlu dipandang serius. Syarikat penerbitan di Malaysia perlulah memainkan peranan yang penting dalam hal ini. Bukan hanya  menerbitkan sesuatu yang komersial sahaja tetapi turut menerbitkan bahan bacaan yang bersifat ilmiah supaya masyarakat Malaysia lebih memahami erti perpaduan Negara dan gagasan ‘Satu Malaysia’ yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke -6, Dato’ Seri  Najib bin Tun Razak.

Kini Filem dan Drama turut memberikan impak yang besar dalam membina ideologi dan pemikiran masyarakat Malaysia. Kita juga boleh menerbitkan filem atau drama yang bertepatan dengan dialog antara agama. Pengkaji melihat peranan FINAS bukan sahaja mengawal filem dan drama tempatan tetapi boleh bersama-sama berganding bahu dengan pengarah dan penulis skrip dalam mencipta suatu filem atau drama yang begitu dekat dengan masyarakat dan sesuai dijadikan panduan dalam dialog antara agama. Contohnya filem ‘Ayat-ayat Cinta’  yang mengangkat karya Habiburrahman Syirazi dengan memaparkan mesej keagamaan dalam percintaan antara penganut agama Islam dan Kristian Qibthi. Bagaimana interaksi sosial yang berlaku dan digarap begitu cantik oleh pengarah dan penulis buku tersebut. Inilah yang perlu kita   lakukan secara berterusan supaya masyarakat juga dapat terdidik dengan filem dan drama yang ditayangkan.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, dialog antara agama perlu diadakan dan semua pihak perlu mengambil bahagian supaya  perpaduan yang hanya senipis kulit bawang ini akan terus disuburkan dan berterusan  kerana kita tidak mahu peristiwa lampau yang menggugat perpaduan masyarakat Malaysia berulang kembali .
    
p/s: Kertas Seminar yang dibuat bersama dengan ustaz saya Ustaz Mahmud Bin Ahmad. Thanks Ustaz saya dapat pengalaman dan idea baru.

       

No comments:

Post a Comment